GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menjalankan aktiviti penebangan dan mencuri pelbagai spesis pokok bakau di kawasan pesisir pantai dan hutan paya untuk tujuan komersial.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian, berkata, pihaknya memandang serius isu itu memandangkan pokok bakau mendapat permintaan tinggi, terutamanya dalam sektor pembinaan untuk dijadikan kayu cerucuk.

Beliau berkata, aktiviti itu juga dikesan didalangi pihak tertentu yang mana beberapa lokasi dikenal pasti menjadi tumpuan seperti di Pulau Ketam, pesisir pantai Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

"Kita memang ada menerima laporan mengenai kecurian dan pencerobohan pokok bakau ini.

"Bagaimanapun, kita berdepan kekangan kerana tidak dapat memantau 24 jam disebabkan kawasan pencerobohan yang luas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Pelepasan 5,000 Fun Walk Taman Alam sempena Karnival Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, rondaan dan operasi penguatkuasaan secara berkala dijalankan bagi mengekang aktiviti itu.

Malah, katanya penguatkuasaan dilakukan setiap hari termasuk membuat pemantauan melalui udara dengan menggunakan dron.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Karnival Kuala Selangor, Loy Sian berkata, program itu dilaksanakan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) yang membabitkan semua lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah.

"Sebanyak 800 pokok bakau minyak ditanam di Taman Alam Kuala Selangor bagi memberi kesedaran kepada semua pihak terutama murid sekolah tentang kepentingan penanaman pokok.

"Ia bertujuan mencegah hakisan pantai dan memulihara habitat asal supaya anak ikan, udang serta ketam dapat membiak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 12:16 PM