PENEMUAN kayu bakau dalam beberapa siri operasi penguatkuasaan dan rondaan di sekitar Pelabuhan Klang pada Januari sehingga Ogos 2016.
PENEMUAN kayu bakau dalam beberapa siri operasi penguatkuasaan dan rondaan di sekitar Pelabuhan Klang pada Januari sehingga Ogos 2016.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Hasil tangkapan nelayan di beberapa negeri seperti Selangor, Perak dan Perlis bakal berkurangan dalam tempoh 15 tahun akan datang akibat isu kecurian kayu bakau di pesisir pantai yang tidak terkawal.

Perunding Alam Sekitar Amlir Ayat berkata, keseluruhan ekosistem laut membabitkan hidupan seperti ikan, udang dan ketam di pesisir pantai bakal musnah ekoran penebangan pokok bakau yang dilakukan ‘lanun bakau’.

Beliau berkata, hakisan pantai yang menjadi masalah besar kepada negara akan turut menjadi lebih serius jika aktiviti ‘lanun bakau’ ini tidak ditangani segera.

“Kayu bakau adalah spesies pokok yang dominan. Biasanya ia membentuk hanya satu strata spesies dan wujud sebagai sebahagian daripada ekosistem air masin.

“Ia mempunyai struktur akar yang istimewa yang membolehkannya bernafas di kawasan muara sungai dan pantai berlumpur. Ia juga berperanan sebagai perangkap sedimen dan melindungi kawasan pantai serta dapat mempertahankan tebing daripada hakisan,” katanya.

Amlir berkata, jika kecurian kayu bakau ini tidak dikawal, tidak mustahil pelbagai masalah pesisir pantai akan timbul dan memudaratkan penduduk tempatan.

“Pokok bakau adalah penahan semula jadi pantai yang dijadikan sebagai tebatan jika berlaku ombak besar atau tsunami. Mengambil contoh peristiwa tsunami yang melanda beberapa negeri di pantai barat Semenanjung pada tahun 2004. Ketika itu baru kita sedar akan kepentingan kawasan paya bakau ini.

“Penduduk di sekitar pantai juga menjadikan kawasan paya bakau ini sebagai pelindung daripada angin kuat. Apabila tiba musim tertentu, angin kuat dari laut mampu memusnahkan rumah dan struktur bangunan lain,” katanya.

Beliau berkata, kawasan paya ini juga menjadi habitat dan rantaian kepada beribu haiwan, serangga, mergastua, spesies ikan dan reptilia.

“Akar atau bahagian lain yang reput menjadi sumber makanan kepada hidupan air, manakala haiwan seperti beruk dan monyet pula mencari makanan seperti ikan di kawasan berkenaan selain burung juga menjadikan kawasan ini sebagai tempat persinggahan dan habitat mereka.

“Jika masalah penebangan ini tidak dapat diselesaikan, tidak mustahil kita akan melihat lebih banyak haiwan akan mati dan pupus,” katanya.

Menurutnya, seperti hidupan hijau lain, pokok bakau membantu menyerap gas rumah hijau, seperti karbon dioksida dan menukarkannya kepada oksigen bersih.

“Penebangan pokok bakau juga menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau global, yang mengakibatkan perubahan iklim. Apabila jumlah gas rumah hijau meningkat di dalam atmosfera, haba akan terperangkap di dalamnya dan menyebabkan pemanasan global.

Amlir berkata, dari segi ekonomi, terdapat sesetengah kawasan hutan simpan paya bakau dijadikan kawasan pelancongan, namun apabila hutan ini musnah, ia tidak dapat menarik pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 10:20 AM