RAHILAH (dua, kiri) pada Program Tanam Pokok anjuran bersama MPKS dengan kerjasama Enquest Petroleum Development Malaysia dan Malaysian Nature Society di Taman Alam Kuala Selangor. FOTO Ihsan MPKS
RAHILAH (dua, kiri) pada Program Tanam Pokok anjuran bersama MPKS dengan kerjasama Enquest Petroleum Development Malaysia dan Malaysian Nature Society di Taman Alam Kuala Selangor. FOTO Ihsan MPKS
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menanam pokok bakau di pesisir pantai daerah ini dalam usaha mencegah hakisan akibat ombak dan fenomena air pasang besar.

Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat berkata, fenomena itu boleh membawa kepada kemusnahan teruk di daratan hingga menyebabkan risiko banjir.

"Sebelum ini, air pasang besar di beberapa kawasan di Kuala Selangor menyebabkan berlaku banjir dan menjadi lebih buruk sekiranya berlaku pertembungan air laut di lembangan sungai disertai hujan lebat.

"Jadi, tindakan segera perlu diambil iaitu dengan menanam pokok bakau kerana fenomena air pasang besar berlaku sekitar Oktober dan November.

"Spesies pokok itu terbukti mampu menghalang hakisan disebabkan hempasan ombak kuat dan kejadian tsunami seperti berlaku di Langkawi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program tanam pokok anjuran MPKS, Enquest Petroleum Development Malaysia dan Malaysian Nature Society di Taman Alam Kuala Selangor, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha penanaman akan dipergiatkan dari semasa ke semasa untuk memastikan ekosistem habitat semula jadi hasil laut terus membiak.

Menurutnya, pada tahun ini, tiga program dianjurkan bagi usaha pemuliharaan kawasan paya bakau di pesisir pantai Kuala Selangor dan 400 pokok paya bakau ditanam di kawasan keluasan 900 meter persegi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 1:41 PM