Sultan Ismail Sultan Iskandar. FOTO ihsan FB
Sultan Ismail Sultan Iskandar. FOTO ihsan FB
Izz Laily Hussein


Mersing: Perolehan aset komando mesti dibuat mengikut kehendak dan keperluan yang diberikan Gerup Gerak Khas (GGK) dan bukannya ditentukan oleh pihak lain.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut bertitah mengingatkan Kementerian Pertahanan supaya tidak sesuka hati membuat perolehan aset untuk GGK tanpa merujuk baginda.

Baginda selaku Kolonel Komandan GGK bertitah, peralatan ketenteraan amat penting untuk pasukan GGK mengalas tugas diberikan selain daripada ukuran kekuatan anggota.

"Jangan bazirkan duit kerajaan dengan menerima sahaja peralatan yang dijual oleh ejen pembekal sedangkan peralatan itu tidak sesuai dengan gerak kerja komando.

"Suka juga saya ingatkan kepada pihak kementerian, apabila membuat sesuatu perolehan aset, jangan lupa sediakan peruntukan untuk penyelenggaraan aset berkenaan.

"Tidak guna membeli barang kalau tidak mampu dijaga. Cubalah bandingkan bot dibeli oleh komando sendiri dengan bot yang saya belikan. Mana yang masih dalam keadaan baik dan yang mana sudah rosak tersadai di stor simpanan?" titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-57 di Padang Kawad Markas 21, GGK, Kem Iskandar di sini, hari ini.

Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Baginda bertitah pernah membuat teguran tentang perkara berkenaan, namun ia masih lagi berlaku sehingga ke hari ini.

"Ingat pesanan saya, saya berdiri di sini sebagai Kolonel Komandan Gerak Khas yang memikul amanah bukan sebagai patung untuk menghiasi upacara majlis sahaja," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 2:38 PM