SULTAN Ibrahim merasmikan Majlis Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-54  di Padang Kawad Markas 21 GGK Kem Iskandar, Mersing. FOTO ihsan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
SULTAN Ibrahim merasmikan Majlis Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-54 di Padang Kawad Markas 21 GGK Kem Iskandar, Mersing. FOTO ihsan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Nurul Amanina Suhaini


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah akan sentiasa memerhati dan mengambil tahu mengenai perkembangan termasuk perolehan aset bagi kegunaan Grup Gerak Khas (GGK).

Baginda yang juga Kolonel Komandan GGK menerusi Facebook (FB) Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pasukan khas atau komando tidak seharusnya menerima apa saja peralatan dicadangkan atau hendak dijual oleh pembekal.

“Saya perhatikan ada bekas jeneral bersara menjadi ejen menjual perkakasan tentera kepada komando dengan harga tidak masuk akal.

“Sebagai contoh, pembelian bot Rigid Riding Craft sebanyak lapan unit dicadangkan dengan kos RM5 juta seunit.

“Harga ini tidak munasabah dan selepas saya campur tangan, saya berikan komando bot lebih baik dan menjimatkan kerajaan,” titah baginda pada Majlis Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-54 di Padang Kawad Markas 21 GGK Kem Iskandar di sini, semalam.

Pada majlis sambutan itu baginda turut diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan hadir sama, Panglima 21 GGK Mejar Jeneral Datuk Hasan Ali.

“Saya sedar, tindakan saya mencampuri urusan perolehan komando ini tidak disenangi sesetengah pihak yang ingin mengaut keuntungan sebagai ejen atau orang tengah,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan yang meluluskan peruntukan hampir RM180 juta untuk perolehan beberapa peralatan khas komando seperti payung terjun, rumah pertempuran jarak dekat (CQB) dan kolam renang tempur di Kem Iskandar.

Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-54 unik kerana berkonsepkan sejarah perkembangan GGK selaras dengan penstrukturan semula Rejimen Gerak Khas, selain memperagakan evolusi seragam tempur 21 GGK.

Perbarisan menampilkan pakaian tempur yang digunakan untuk penugasan setiap pasukan di bawah naungan 21 GGK.

Majlis kemudian diteruskan dengan Upacara Anugerah Jaguh Sukan Gerak Khas yang disempurnakan oleh Sultan Ibrahim menerusi penyampaian lencana, sijil dan Anugerah Jaguh Sukan Gerak Khas kepada atlet yang cemerlang bagi tahun 2018.

Penganugerahan itu adalah berdasarkan pembabitan dan pencapaian di peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 6:30 AM