Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima mengadap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, di Istana Pasir Pelangi, hari ini. FOTO IHSAN ROYAL PRESS OFFICE
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima mengadap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, di Istana Pasir Pelangi, hari ini. FOTO IHSAN ROYAL PRESS OFFICE
Nurul Amanina Suhaini


SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima mengadap Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

Sultan Ibrahim dalam muat naik di laman Facebook rasmi baginda memaklumkan pertemuan berkenaan turut menyentuh mengenai isu kesihatan semasa serta perkembangan terkini kerja-kerja pembaikan Wad Perubatan Perempuan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru yang terbakar pada Jun lalu.

Terdahulu, Sultan Ibrahim bertitah, baginda berkenan membiayai kos membaik pulih wad itu dengan kos pembaikan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Baginda amat menitikberatkan kesihatan rakyat dan ketika negara diancam penularan wabak Covid-19 sejak Mac lalu, baginda secara berterusan berkenan mengurniakan pelbagai sumbangan termasuk ventilator dan peralatan perubatan untuk kegunaan hospital di Johor.

Sumbangan berkenaan dilakukan menerusi YSIJ dengan kerjasama Yayasan Temasek dari Singapura, dermawan serta rakan-rakan baginda.

Dalam pada itu, Dr Adham turut meluangkan masa melihat kemudahan perubatan berteknologi tinggi di dalam ambulans peribadi Sultan Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 8:27 PM