HASZLILA bersama produk makanan kanak-kanak Harraz Chew Me iaitu gula-gula separa kenyal yang mudah dimakan.
HASZLILA bersama produk makanan kanak-kanak Harraz Chew Me iaitu gula-gula separa kenyal yang mudah dimakan.
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Ramai dalam kalangan masyarakat kini berlumba-lumba menjadi usahawan terutama dalam bidang kosmetik kerana ia menjanjikan pulangan yang lumayan.

Tidak kurang juga trend sekarang yang menyaksikan pembabitan anak muda dalam bidang saham dan sebagainya.

Namun, bagi pemilik perniagaan Hasz Trading, Haszlila Jalil yang lebih mesra disapa Umi, beliau mempunyai pandangan berbeza.

Ibu kepada enam anak ini memilih bersara awal untuk lebih fokus kepada anak dengan membuka kedai produk Muslim.

Hasil keberanian itu juga, Haszlila kini memperoleh peluang mengeluarkan makanan kanak-kanak keluaran Muslim jenama sendiri iaitu Harraz Chew Me.

Berkongsi pengalaman saat mula-mula memperkenalkan Harraz Chew Me iaitu gula-gula separa kenyal yang mudah dimakan, Haszlila berkata, banyak kata negatif yang dilemparkan kepadanya.

Namun, semua itu tidak mematahkan semangatnya memberikan yang terbaik bukan kepada anaknya tetapi untuk semua kanak-kanak.

"Ada yang gelak, perli dan ada juga yang cakap kalau tak balik modal boleh makan balik gula-gula tu sampai kenyang.

"Terguris hati? Itu pasti tetapi untuk menyerah kalah bukanlah pilihan saya," katanya.

Haszlila berkata, anak adalah sumber inspirasinya menghasilkan produk ini.

"Setiap kali mereka ke kedai, membeli kudapan serta manisan itu satu kemestian dan pada pengamatan saya, jika dibiarkan ia pasti akan memudaratkan kesihatan mereka.

"Dari situlah tercetusnya idea menghasilkan satu produk menggantikan snek yang boleh dimakan pada bila-bila masa, sedap, mudah untuk didapati dan yang penting berkhasiat," katanya.

DUA anggota JPJ mengawal lalu lintas susulan seorang lelaki kemalangan. FOTO Ihsan JPJ
DUA anggota JPJ mengawal lalu lintas susulan seorang lelaki kemalangan. FOTO Ihsan JPJ

Harraz Chew Me adalah gummy atau pastil iaitu gula-gula separa kenyal serta mudah dimakan, mengandungi saffron, gam Arab dan garam bukit yang baik untuk penghadaman, kecerdasan minda dan imunisasi.

Didatangkan dengan tiga perisa buah-buahan iaitu anggur, oren dan epal hijau, Harraz Chew Me kini boleh didapati di rangkaian Kedai Mesra, Petronas seluruh Malaysia dan kedai serbaneka terpilih.

Menariknya, kolaborasi bersama Didi & Friends menjadikan jenama Harraz Chew Me lebih kukuh dan mudah dikenali.

Sepanjang pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang berlangsung pada 4 hingga 14 Ogos ini, bagi yang ingin merasai sendiri keenakan Harraz Chew Me, kunjungi booth Hasz Trading.

Pelbagai aktiviti menarik dan hadiah turut disediakan kepada pengunjung.

Selain MAHA, Harraz Chew Me juga sangat aktif menyertai pelbagai ekspo seluruh negara seperti Selangor International Halal Convention, Penang International Halal Expo & Conference, MIHAS bagi mencari ruang memasarkan ke peringkat antarabangsa.

Kini Harraz Chew Me sedang mempersiapkan diri memasuki pasaran halal di Kanada, Cameroon dan Thailand.

https://www.youtube.com/watch?v=c6BRH3PPqpM

Selain Harraz Chew Me, Hasz Trading juga memiliki kedai serbaneka dan menjual produk sejuk beku bernama Harraz Mart dengan empat cawangan iaitu di Shah Alam, Cyberjaya, Putrajaya dan Senawang, Negeri Sembilan.

Hasz Trading juga membekalkan ayam kampung segar berjenama Ayam Kampung Harraz yang dipasarkan di seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 12:17 PM