FARHANA bersama Runshaug menunjukkan produk King’s Candy.
FARHANA bersama Runshaug menunjukkan produk King’s Candy.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Paradigma Resources Enterprise, syarikat Bumiputera yang menjadi pengedar tunggal produk King’s Candy, yakin produk gula-gula kenyal yang dipasarkan menerima permintaan tinggi di negara ini.

Pengurus Jualannya, Farhana Mohamed berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan 50 peratus jualan tahun ini berikutan menerima banyak permintaan daripada pelanggan.

Katanya, gula-gula kenyal keluaran King’s Candy yang beribu pejabat di Singapura adalah satu-satunya produk yang menerima pengiktirafan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Sukar untuk mencari gula-gula kenyal yang halal di pasaran dan kami akan membawa masuk produk ini ke pasar raya besar serta taman tema yang sering menjadi tumpuan untuk mendapatkan gula-gula kenyal seperti ini.

“Setakat ini, terdapat lebih kurang 50 jenis gula-gula kenyal yang kami pasarkan dan kami turut menerima tempahan bagi pelanggan yang inginkan gula-gula kenyal untuk majlis keramaian mereka,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini.

Farhana berkata, untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari Facebook King’s Candy Malaysia, Instagram; @kingscandymy atau laman kingscandy.com.sg.

Sementara itu, Pengurus King’s Candy, Martin Runshaug berkata, pihaknya merancang membuka kilang di Malaysia bagi memenuhi permintaan di negara ini.

Runshaug berkata, pihaknya komited menghasilkan gula-gula kenyal yang dijamin halal kerana permintaan yang tinggi terhadap produk itu dalam kalangan Muslim.

“Kami mahu apabila orang ramai menyebut King’s Candy, mereka tahu bahawa ia dijamin halal dan produk ini akan dipasarkan di seluruh negara terutama di negara Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 7:22 AM