DATUK Seri Alexander Nanta Linggi. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Alexander Nanta Linggi. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


Semenyih: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan tiada gula-gula mengandungi unsur babi dijual di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun menerima maklumat produk berkenaan dijual di pasaran dalam talian.

Berikutan itu, Nanta meminta pengguna berhati-hati dan tidak membuat pembelian jika mendapati ada bahan yang meragukan dalam sesuatu produk.

"Setakat ini saya difahamkan produk ini tidak dijual di kedai cuma boleh didapati melalui dalam talian.

"Kepada pengguna tengoklah kalau benda itu macam tak betul jangan beli," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Cawangan Baharu Lulu Hypermarket, Kedai Serbaneka Ecohill dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2022, di sini, hari ini.

Menurut Nanta, pihaknya akan terus berpandukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam hal berkaitan status halal dan haram.

"Penguat Kuasa KPDNHEP memang melihat hal ini dan Jakim sudah mengeluarkan kenyataan.

"Jadi, kita berpandukan Jakim berkaitan halal atau tidak halal," katanya.

Kelmarin, kecoh dalam kalangan pengguna laman sosial mengenai jenama gula-gula yang didakwa mengandungi unsur babi tetapi mempunyai tanda halal pada pembungkus.

Menerusi ciapan yang dihantar oleh satu akaun Twitter, kelihatan 'gelatin babi' tercetak dalam senarai bahan selain bahan lain yang biasa digunakan bagi pembuatan gula-gula.

Hal itu bukan hanya mengejutkan, malah membuatkan netizen tertanya-tanya bagaimana gula-gula berkenaan boleh dijual di pasaran.

Lebih membimbangkan, gula-gula berkenaan juga dijual dengan terbuka di sebuah platform jual beli dalam talian.

Dalam pada itu, Facebook (FB) Bahagian Hab Halal, Jakim menerusi hantarannya memaklumkan produk berkenaan menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh Jakim.

Justeru, penggunaan logo halal itu adalah menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dikenakan tindakan melalui peruntukan perundangan yang berkaitan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 2:21 PM