PENGARAH syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah membabitkan tender bagi notis saman Polis Diraja Malaysia (PDRM).
PENGARAH syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah membabitkan tender bagi notis saman Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas lapan pertuduhan menerima rasuah membabitkan tender bagi notis saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara 2019 hingga 2020.

Mohd Shazwan Shaharuddin, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Tertuduh didakwa atas lapan pertuduhan menerima suapan secara berperingkat daripada Ukasyah Amiruddin, 33, pekerja syarikat SR Express (M) Sdn Bhd berjumlah keseluruhan RM568,000.

Suapan itu adalah bagi membantu mendapatkan tender bagi kerja-kerja perkhidmatan membekal, memproses, mencetak dan mengepos notis saman PDRM kepada syarikat SR Express (M) Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara Julai 2019 hingga Oktober 2020.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noralis Mat manakala tertuduh diwakili peguam Ridha Abdah Subri.

Mahkamah membenarkan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin dan syarat tambahan.

Tertuduh diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM berhampiran minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah juga menetapkan 7 September depan untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 4:26 PM