ASISTEN Komisioner Shariman Ashari. FOTO arkib NTSP
ASISTEN Komisioner Shariman Ashari. FOTO arkib NTSP
Hamzah Osman


Langkawi: Siasatan kes cabul guru lelaki terhadap murid perempuan di sekolah rendah di pulau ini sudah lengkap, selepas keterangannya diambil polis.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya akan merujuk kes kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

"Guru berusia 48 tahun yang ditahan pada tengah hari Rabu lalu dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan selanjutnya.

"Ia berikutan rakaman percakapan guru terbabit, mangsa dan saksi sudah selesai," katanya dalam satu kenyataan di sini, petang ini.

Shariman berkata, pada masa sama beberapa dokumen sedang diperolehi oleh pihaknya untuk melengkapkan siasatan.

Khamis lalu, media melaporkan polis menahan guru lelaki di sebuah sekolah rendah di sini, bagi membantu siasatan kes cabul murid perempuan berusia 12 tahun.

Suspek ditahan pada 12.30 tengah hari susulan laporan dibuat ibu mangsa pada pagi hari sama.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 6:54 PM