Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Hamzah Osman


Langkawi: Polis menahan guru lelaki sebuah sekolah rendah di sini, semalam bagi membantu siasatan kes cabul seorang murid perempuan berusia 12 tahun.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, suspek berusia 48 tahun ditahan pada 12.30 tengah hari susulan laporan dibuat ibu mangsa pada pagi hari sama.

"Mangsa adalah seorang murid di sebuah sekolah rendah berusia 12 tahun, mendakwa dicabul oleh guru lelaki daripada sekolah sama.

"Susulan itu, polis menahan suspek dan dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shariman berkata, suspek direman sehingga Rabu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Beliau turut meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu yang boleh mengganggu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 6:21 PM