Ruwaida Md Zain


Klang: Cuba ugut dan buli menggunakan pisau. Namun perbuatan itu yang sempat dirakam dan tular di media sosial 'memakan diri' apabila suspek diberkas polis tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berumur 30-an jam 5.15 petang semalam.

"Dia memaklumkan semasa memandu lori di Jalan Parang, Bandar Sultan Suleiman, kenderaannya dipintas dan ditahan secara tiba-tiba oleh sebuah lori yang dipandu suspek.

"Suspek kemudiannya turun dari lori dengan membawa sebilah pisau terus mengugut pengadu dengan kata-kata ' U tak kenal lagi siapa aku, Kau tunggu aku cari kau'.

"Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menangkap suspek di sekitar Klang bagi siasatan lanjut jam 12.25 tengah malam," katanya.

TANGKAP layar rakaman yang tular di media sosial. FOTO tular
TANGKAP layar rakaman yang tular di media sosial. FOTO tular

Vijaya Rao berkata, semakan mendapati suspek yang berumur 40-an itu mempunyai satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

"Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah.

"Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 31 saat memaparkan seorang lelaki memegang pisau sambil mengatakan sesuatu kepada seorang pemandu lori.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 5:46 PM