Ruwaida Md Zain


Klang: Lebih 700 botol minuman keras tiruan dianggarkan bernilai RM100,000 dirampas dalam serbuan di dua rumah yang dijadikan tempat memproses dan menjual di Jalan Jabar, Meru di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, operasi serbuan menerusi Op Kontraban itu membabitkan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

Menurutnya, dalam serbuan 4.20 petang itu, polis menyerbu premis terbabit dan menangkap wanita warga Myanmar berusia 21 tahun.

"Suspek dipercayai bekerja sebagai kerani di premis itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran berkaitan keberadaan barang-barang terbabit di situ.

S Vijaya Rao (dua kiri) menunjukkan barang yang dirampas pada sidang media. FOTO Faiz Anuar
S Vijaya Rao (dua kiri) menunjukkan barang yang dirampas pada sidang media. FOTO Faiz Anuar

"Pemeriksaan lanjut ke atas premis itu, polis menemukan pelbagai jenama minuman keras tiruan.

"Polis turut merampas wang tunai bernilai bernilai RM1,066 kerana disyaki wang hasil penjualan minuman keras tiruan berkenaan," katanya dalam sidang media di IPD Klang Utara, di sini hari ini.

Vijaya Rao berkata, hasil soal siasat membawa kepada serbuan rumah bersebelahan dan lebih banyak minuman keras disyaki tiruan serta peralatan memprosesnya dirampas.

"Anggaran nilai minuman keras tiruan ini RM100,000 di mana barang kes dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisis dan nilai rampasan sebenar akan dibuat oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Siasatan mendapati kebanyakan pembeli minuman keras tiruan di premis berkenaan adalah warga asing.

"Ada juga dibeli oleh warga tempatan yang tidak mampu beli arak mahal kerana ia dijual pada harga RM30," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati, kegiatan memproses minumam keras tiruan itu dipercayai aktif sejak kira-kira dua tahun lalu.

Katanya, polis masih mengesan dua suspek lelaki, seorang warga tempatan dan seorang warga Myanmar yang disyaki terbabit dalam kegiatan haram itu.

"Bagi suspek wanita warga asing itu, dia ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan memproses arak berkenaan serta tinggal lebih masa.

"Suspek ditahan reman selama 14 hari kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 1:34 PM