TANGKAP layar video tular dua suspek memakai topi keledar yang melarikan peti duit sebuah kedai di Kapar.
TANGKAP layar video tular dua suspek memakai topi keledar yang melarikan peti duit sebuah kedai di Kapar.
Ruwaida Md Zain


Klang: Polis giat memburu dua penjenayah bersenjatakan parang yang melarikan peti duit dari sebuah kedai dalam kejadian samun di Jalan Raja Mokhtar 4, Kapar, di sini 26 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik kedai pada 11.48 malam, hari kejadian, namun video berkenaan tular di media sosial semalam.

"Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika pekerja kedai sedang bersiap untuk menutup kedai kira-kira 9.30 malam.

"Secara tiba-tiba mereka didatangi dua lelaki bersenjata sebilah parang, memakai topi keledar dengan menaiki motosikal Modenas Dinamik.

"Kedua-dua suspek masuk ke dalam premis serta melarikan peti duit di kaunter bayaran serta telefon bimbit seorang pekerja di kaunter bayaran kedai itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vijaya Rao yang mengesahkan kejadian tular itu berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan lanjut serta usaha memburu suspek terbabit giat dijalankan.

"Siasatan mendapati, kedai terbabit mengalami kerugian lebih RM2,000.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini, diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Fazlan Rezza Mazlan (011-10561017) atau IPD Klang Utara (03-32912222) atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial kejadian samun bersenjata membabitkan dua suspek di kedai terbabit.

Video yang tular itu turut memaparkan pekerja yang bersiap untuk menutup kedai lari menyelamatkan diri ketika melihat kelibat suspek masuk ke kedai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 3:42 PM