Ruwaida Md Zain

Klang: Polis menahan 12 suspek yang disyaki terbabit dalam dua kes samun 180 mesin bitcoin dari sebuah kilang aluminium di Kawasan Perindustrian Meru Barat, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, berdasarkan laporan polis diterima, kejadian samun itu berlaku pada 27 April dan 20 Mei lalu.

Menurutnya, pihaknya tidak menerima laporan polis berkenaan kejadian pertama, sebaliknya pihak pengurusan kilang membuat laporan polis tiga hari selepas kejadian kedua.

"Siasatan mendapati, modus operandi digunakan suspek ialah menyamun kilang pada awal pagi iaitu kira-kira jam 2 hingga 3 pagi serta mengikat pengawal keselamatan bertugas ketika itu.

"Susulan itu, polis berjaya menangkap 12 suspek dalam sembilan serbuan berasingan pada 26 dan 27 Mei lalu di sekitar Klang termasuk Bayu Perdana, Teluk Pulai, Pandamaran, Bukit Tinggi, Pelabuhan Klang serta Taman Sentosa.

"Suspek yang ditahan terdiri daripada 11 warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia antara 20 hingga 40 tahun," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, di sini, hari ini.

Vijaya Rao (kiri) memeriksa mesin bitcoin yang dirampas pada sidang media di IPD Klang Utara. Foto Ruwaida Md Zain
Vijaya Rao (kiri) memeriksa mesin bitcoin yang dirampas pada sidang media di IPD Klang Utara. Foto Ruwaida Md Zain

Katanya, siasatan mendapati kesemua suspek warga tempatan mempunyai pelbagai rekod jenayah, dadah serta dikehendaki manakala warga Indonesia tiada rekod jenayah.

"Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas 188 mesin bitcoin, lima unit telefon, Nissan Sentra, Proton Wira, 39 unit penjana kuasa (power supply) dipercayai hasil samun.

"Hasil daripada tangkapan, rampasan dan siasatan yang dibuat, setakat ini pihak polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun bitcoin di kawasan Klang Utara.

"Polis kini sedang mengesan beberapa lagi suspek yang masih bebas dipercayai terbabit dalam kejadian samun iaitu Herman Petrus, 41; Tan Juan Farn, 37 dan Abdul Rahim Mohamad Ali, 33," katanya.

Katanya, Kesemua suspek ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, katanya, siasatan mendapati operasi mesin bitcoin itu pula didapati tiada kesalahan kerana tidak mencuri bekalan elektrik.

Difahamkan, sistem pendawaian bagi mesin bitcoin itu mendapat kelulusan spesifikasi daripada pihak utiliti selain membuat pembayaran secara sah bagi bekalan elektrik untuk urusan perlombongan mata wang kripto bitcoin itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 1:58 PM