KD Lekir usir 7 bot nelayan Indonesia yang mencerobohi perairan negara. FOTO Ihsan TLDM
KD Lekir usir 7 bot nelayan Indonesia yang mencerobohi perairan negara. FOTO Ihsan TLDM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengusir tujuh bot nelayan Indonesia yang menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam perairan negara di 36 batu nautika barat daya Pulau Perak, semalam.

Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengesan aktiviti itu ketika melakukan rondaan Op Benteng dan Op Pejarak pada jam 9.32 pagi.

"Kapal Diraja (KD) Lekir berjaya mengesan bot nelayan Indonesia berkenaan yang sedang menangkap ikan secara haram.

"Semua bot nelayan asing itu kemudian terus beredar selepas melihat kehadiran KD Lekir di sekitar kawasan berkenaan," katanya.

Menurutnya, KD Lekir turut mengiringi bot nelayan asing terbabit sehingga keluar dari sempadan perairan negara pada jam 4.30 petang.

"KD Lekir meneruskan rondaan di Selat Melaka Utara bersama KD Laksamana Hang Nadim dan KD Kinabalu dalam Op Benteng.

"TLDM dan pelbagai agensi maritim lain beroperasi 24 jam di bawah National Task Force (NTF) bagi memperkukuhkan sempadan perairan negara daripada dicerobohi dan mencegah penularan pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 5:40 PM