Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Sebahagian besar peniaga ayam di negeri ini tidak menjual ayam bersaiz besar atau melebihi berat dua kilogram (kg) kerana kurang menjadi pilihan pembeli.

Jika ada yang menjualnya sekalipun, kebanyakannya hanya mendapatkan ayam bersaiz besar dalam kuantiti kecil daripada pembekal malah jualannya dianggap sekadar 'mencuba nasib'.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Kak Lah, 50-an berkata, bukan sahaja ayam bersaiz besar, jualan untuk ayam di bawah dua kilogram juga agak perlahan walaupun harganya kini murah.

"Situasi begini sudah biasa memandangkan Aidiladha baru sahaja berlalu dan mungkin orang ramai masih ada lauk (daging) yang perlu dihabiskan.

SARIMAH Dolah menunjukkan ayam bersaiz sederhana yang dijual di gerainya pada harga antara RM8 hingga RM8.50 sekilogram. FOTO Siti Rohana Idris
SARIMAH Dolah menunjukkan ayam bersaiz sederhana yang dijual di gerainya pada harga antara RM8 hingga RM8.50 sekilogram. FOTO Siti Rohana Idris

"Sepanjang tempoh saya berniaga selepas Aidiladha, jualan agak merosot dan walaupun harga ayam sudah murah serta bekalan banyak, pembeli tetap kurang membeli ayam.

"Setiap hari, saya turut menyediakan sekitar 10 ekor ayam bersaiz lebih dua kilogram tetapi selalunya memang akan berbaki dan pembeli lebih memilih yang bersaiz biasa," katanya ditemui hari ini.

Tinjauan di Pasar Siti Khadijah mendapati, lebih 20 peniaga ayam berdepan nasib seakan sama apabila ayam masih belum terjual meskipun waktu sudah menjengah ke tengah hari.

Bagi Sarimah Dolah, 53, pembeli tidak mementingkan saiz ayam sebaliknya keutamaan mereka hanyalah ingin mendapatkan ayam pada harga murah.

Katanya yang sudah 32 tahun berniaga ayam di pasar itu, dengan harga sekitar RM8 hingga RM8.50 sekilogram, ia masih belum mampu menarik minat pembeli apatah lagi jika ayam bersaiz besar yang dijual.

"Di Pasar Siti Khadijah ini, sebahagian besar penjual tidak mendapatkan ayam bersaiz besar walaupun ada tawaran daripada pembekal kerana ia mendatangkan kerugian kepada kami disebabkan pembeli lebih memilih ayam bersaiz standard," katanya.

Sementara itu, pembeli, Asmah Ismail, 45, berkata, saiz ayam bukan menjadi keutamaan sebaliknya harga ayam yang sudah turun sekarang menjadi kelegaan buatnya sebagai pengguna.

Tidak menafikan ada singgah di beberapa gerai memproses ayam yang menyediakan ayam bersaiz melebihi dua kilogram, dia sekeluarga lebih memilih ayam bersaiz sederhana kerana boleh dimasak sekali sahaja tanpa perlu menyimpannya.

"Walaupun ada peniaga yang menjual ayam bersaiz besar, tetapi tidak ramai kerana mungkin mereka tahu ia kurang dibeli memandangkan kita baru menyambut Aidiladha. Mungkin daging korban masih berbaki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 3:30 PM