Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Peniaga ayam mendakwa harga ayam mula naik mendadak sejak seminggu lalu sebelum Ramadan dan menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga jualan.

Tinjauan di Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, mendapati harga ayam kini naik kepada RM8.50 sekilogram berbanding antara RM6 hingga RM7.30 sekilogram sejak beberapa hari lalu.

Peniaga ayam, Hayati Daud, 50, berkata, dia tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menaikkan harga ayam bagi mengelak berlaku kerugian meskipun memahami situasi semasa masyarakat yang terbeban susulan penularan pandemik Covid-19.

"Sebelum ini harga ayam dijual di gerai saya adalah RM7.30 sekilogram, namun kini terpaksa dinaikkan sehingga RM8.50 sekilogram memandangkan harga ayam mula naik antara RM0.30 hingga RM0.40 setiap hari sejak seminggu lalu.

"Disebabkan harga ayam naik mendadak, dalam sehari untuk saya menjual 20 ekor ayam pun agak sukar berbanding sebelum ini yang terjual sehingga 50 ekor sehari kerana ketika itu ia mendapat permintaan daripada pembeli," katanya ketika ditemui, hari ini.

PENIAGA ayam di Pasar Besar Siti Khadijah mendakwa harga ayam mula naik mendadak sejak seminggu lalu menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga jualan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PENIAGA ayam di Pasar Besar Siti Khadijah mendakwa harga ayam mula naik mendadak sejak seminggu lalu menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga jualan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Seorang lagi peniaga ayam, Zarina Abdullah, 52, berkata, dia dimaklumkan harga ayam naik secara mendadak disebabkan makanan ruji ternakan itu mahal, sekali gus menyebabkan penternak terpaksa menaikkan harga.

"Harga ayam daripada pembekal dijual sekitar RM8 sekilogram dan disebabkan memahami situasi semasa pembeli terutama mereka yang berpendapatan rendah, saya hanya menjualnya RM8.50 sekilogram.

"Bagaimanapun, tidak dinafikan setiap kali menjelang Ramadan atau Syawal harga ayam pasti akan naik dan sebagai peniaga kebanyakan kami mengakui situasi ini adalah normal.

"Keadaan ini terpaksa kita terima apabila semua harga barang basah termasuk ayam naik sehingga memaksa kerajaan menguatkuasa harga kawalan," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Nik Aishah Md Shahari, 32, berkata, dia terkesan dengan kenaikan harga barangan ketika Ramadan.

"Barangan keperluan dapur termasuk ayam perlu dibeli setiap hari sebagai juadah berbuka puasa untuk kami sekeluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 11:59 AM