RoselanAb Malek


Bera: Pelancaran RuralStar, sebuah peranti infrastruktur rangkaian teknologi telekomunikasi terkini akan memudahkan kesalinghubungan kepada komuniti yang sukar dijangkau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bukan sahaja menghubungkan kawasan terpencil malah kepada komuniti yang tidak mempunyai infrastruktur komunikasi yang lengkap.

Menurutnya, kerajaan sentiasa berusaha membawakan arus kemajuan ke semua peringkat masyarakat bersesuaian dengan prinsip Keluarga Malaysia supaya tiada sesiapa pun tertinggal daripada menikmati peluang kemakmuran bersama yang lebih inklusif dan saksama.

ISMAIL Sabri berucap pada Majlis Pelancaran Huawei Ruralstar Pro, di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
ISMAIL Sabri berucap pada Majlis Pelancaran Huawei Ruralstar Pro, di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

"Dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang semakin pesat, kerajaan tetap fokus kepada matlamat utamanya iaitu merapatkan jurang digital dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

"Salinghubungan atau ketersambungan digital yang menyeluruh di segenap lapisan masyarakat menjadi objektif utama dalam pentadbiran kerajaan.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Huawei Malaysia dan Majlis Daerah Bera kerana bekerjasama bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan penduduk di sini

"Kerjasama antara Kerajaan dan pihak swasta seperti ini dapat menggalakkan pendidikan digital, sekali gus membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara yang mampan," katanya ketika berucap merasmikan Huawei RuralStar Pro dan penyerahan 200 tablet Huawei MatePad kepada pelajar daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Michael Yuan dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Datuk Idham Nawawi.

Ismail Sabri berkata melalui teknologi seperti RuralStar dan kemahiran digital dalam setiap lapisan masyarakat dapat dipupuk dan disemai supaya tenaga kerja kita pada masa hadapan mempunyai daya saing yang tinggi.

"Pelancaran Measat-3d baru ini, diharap keupayaan capaian internet di kawasan bandar dan sub-luar bandar akan lebih ditingkatkan.

"Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas dan jalur lebar tetap kepada 9 juta premis menjelang tahun 2025," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 6:52 PM