Roselan Ab Malek

Bera: Mereka yang tidak mempunyai dos lengkap vaksin sebenarnya menyusahkan diri sendiri, bukannya kerajaan akan menyusahkan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan dibuat Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam mungkin tersalah anggap oleh pihak tertentu hingga menimbulkan banyak persoalan.

"Mereka yang tidak ada vaksin tidak ada kemudahan berbanding mereka lengkap vaksinasi. Mereka yang tidak divaksin ini tidak dibenarkan rentas negeri sebagai contoh, orang lain yang sudah lengkap vaksin boleh rentas negeri jumpa ibu bapa mereka di kampung.

"Begitu juga dengan kemudahan lain seperti umrah dan tahun depan pula ibadah haji. Syarat untuk menunaikan umrah dan haji ditetapkan kerajaan Arab Saudi perlu lengkap dua dos, kalau tidak, mereka tidak boleh ke sana.

"Itu kesusahan yang mungkin 'kesusahan' dimaksudkan YB KJ (Khairy Jamaluddin), bukannya kerajaan yang akan susahkan mereka atau sengaja nak menyusahkan mereka yang belum divaksin dan tidak perlulah sampai memaksa semua rakyat menerima vaksin, sepatutnya ia adalah atas kesedaran sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Upacara Pemakaian Pangkat Ketua Polis Daerah Bera dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bera di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

ISMAIL Sabri ketika berucap sempena Upacara Pemakaian Pangkat Ketua Polis Daerah Bera, Timbalan Ketua Polis Daerah Bera di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera. FOTO Farizul Hafiz Awang
ISMAIL Sabri ketika berucap sempena Upacara Pemakaian Pangkat Ketua Polis Daerah Bera, Timbalan Ketua Polis Daerah Bera di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera. FOTO Farizul Hafiz Awang

Semalam, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kumpulan antivaksin kemungkinan terpaksa berdepan kehidupan sukar kerana tidak akan dibenarkan menikmati kelonggaran seperti individu lengkap vaksinasi secara berterusan.

Beliau dengan tegas berkata, kerajaan akan 'menyusahkan' kumpulan itu yang terus enggan divaksin tanpa sebab boleh diterima.

"Ia mungkin agak kasar, tetapi pendekatan kita adalah untuk 'menyusahkan' hidup anda (golongan antivaksin).

" Ini kerana anda sendiri memilih untuk tidak divaksin, melainkan anda tidak boleh menerimanya atas faktor kesihatan dan dikecualikan dalam aplikasi MySejahtera. Bagaimanapun, jika sebaliknya, memang kami akan susahkan hidup anda," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan kerajaan mewajibkan semua penjawat awam, termasuk mereka yang bakal menyertai perkhidmatan awam menerima vaksin, Ismail Sabri berkata, perkara itu akan ditentukan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui arahan dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

"Bagi penjawat awam yang sedang berkhidmat, arahan sudah dikeluarkan KPPA sebelum ini dan mereka semua perlu menerima vaksin sebelum 1 November ini.

"Mengenai pengambilan baharu, itu kita akan tengok dari segi perundangan dan jika ingkar, mereka boleh diambil tindakan bersesuaian dengan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 3:00 PM