BERNAMA

Bera: Pembayaran inisiatif bantuan meringankan beban mangsa banjir akan bermula esok, dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) menyalurkan wang itu kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk diserahkan kepada mereka yang terbabit.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bayaran itu meliputi sumbangan pembelian barangan keperluan berjumlah RM2,500, diskaun baik pulih kenderaan, rebat pembelian barangan elektrik RM500 dan bantuan baik pulih rumah antara RM5,000 hingga RM15,000 bagi kerosakan akibat bencana tersebut.

"Terdapat tiga kaedah pembayaran iaitu pemberian secara terus dengan menghantar ke rumah, berkumpul di pusat orang ramai seperti dewan dan sebagainya atau dikreditkan terus ke akaun penerima. Kita serahkan kepada pihak daerah untuk berbincang dengan ICU JPM dalam urusan pembayaran.

"Saya mahu pembayaran ini disegerakan dan jangan disulitkan...jangan ada macam-macam borang yang perlu diisi kerana senarai (mangsa banjir) sudah ada jadi tidak perlu borang. Prinsip kita jangan ada karenah birokrasi yang susah sebaliknya mudahkah bantuan," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 daripada kerajaan Pusat dan RM500 sumbangan kerajaan Pahang kepada 478 mangsa banjir daerah Bera termasuk 45 mangsa banjir gelombang kedua di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini, hari ini.

ISMAIL Sabri (dua, kanan) menyampaikan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir daerah Bera di Dewan Konvesyen Majlis Daerah Bera. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri (dua, kanan) menyampaikan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir daerah Bera di Dewan Konvesyen Majlis Daerah Bera. FOTO BERNAMA

Sementara itu, Ismail Sabri menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa pelbagai 'bantuan banjir paling banyak dan cepat diberikan' itu sebagai tanda-tanda Pilihan Raya Umum (PRU) bakal diadakan dalam masa terdekat.

"Tak ada kena mengenai dengan PRU. Apabila rakyat susah, itu tanggungjawab dan kewajipan kerajaan membantu. Ini bukan hanya bantuan daripada kerajaan Persekutuan, tapi kerajaan negeri juga banyak memberi bantuan. Contohnya kerajaan Pahang turut memberikan sumbangan tunai.

"Kita juga terima permohonan beberapa kerajaan negeri yang hendak membantu dalam pembinaan rumah. Kita perlukan bantuan kerana sebagai contoh jika tanah terbabit ialah tanah rizab sungai, kita perlukan kerjasama kerajaan negeri untuk mencari tapak lain supaya tidak risau dilanda banjir setiap tahun," katanya.

Mengulas mengenai pembayaran BWI, Perdana Menteri berkata proses pembayaran di seluruh negara hampir selesai dengan 42,901 ketua isi rumah (KIR) daripada 45,475 atau 94.3 peratus yang berpindah ke PPS sudah menerima wang itu, manakala bagi yang tidak berpindah ke PPS, pembayaran melibatkan 8,631 (KIR) daripada 9,203 atau 93.8 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 3:42 PM