ZARINAH sentiasa memberi sokongan kepada anaknya menyertai pelbagai aktiviti.
ZARINAH sentiasa memberi sokongan kepada anaknya menyertai pelbagai aktiviti.
Oleh Fuad Hadinata Yaacob


Kuala Lumpur: Usianya lapan tahun namun beratnya tidak sampai 15 kilogram dengan ketinggian hanya 110 sentimeter.

Meskipun kekurangan daripada segi fizikal tidak seperti kanak-kanak sebaya namun Azib Raimi Shawal Hisam sangat berbakat.

Siapa sangka, kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) fizikal dari Sekolah Kebangsaan Taman Medan (SKTM), Petaling Jaya, Selangor berkenaan muncul johan dua tahun berturut-turut dalam pertandingan Karnival e-Mahabbah Pendidikan Khas Petaling Utama 2021 dan 2022 kategori e-Bercerita Sekolah Rendah (Lelaki).

Dalam pertandingan sama tahun ini, Azib Raimi turut mendapat tempat ketiga dalam kategori e-Tarannum Sekolah Rendah (Lelaki). Kejayaan Azib Raimi dan peserta lain membantu SKTM menjadi juara keseluruhan di peringkat daerah dan bakal mewakili peringkat negeri.

Pertandingan dijalankan secara dalam talian itu terbahagi kepada beberapa kategori iaitu e-Tarannum, e-Hafazan, e-Bercerita kisah dari al-Quran, e-Syarahan Agama, e-Nyanyian, Solo Dakwah dan e-Deklamasi Sajak.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK) mengenai aspek keagamaan, adab dan nilai murni selain mencungkil bakat dan potensi diri mereka.

Tahun lalu Azib Raimi menjadi johan di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama serta johan peringkat negeri Selangor dalam kategori e-Bercerita kisah dari al-Quran. Kanak-kanak istimewa itu kemudian mewakili Selangor ke pertandingan peringkat kebangsaan, namun tidak berjaya.

Tahun ini, Azib Raimi bertanding di peringkat negeri dan jika bertanding di peringkat kebangsaan dalam kategori sama.

Dalam pertandingan tahun lalu, Azib Raimi bercerita mengenai kisah Kebijaksanaan Nabi Yusuf dan tahun ini dengan tajuk Ketakwaan Maryam.

Selain menghafal, gaya dan intonasi suara juga diambil kira dalam tempoh lima minit.

Murid Tahun Dua Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SKTM itu berkata, dia terkejut dan gembira kerana tidak menyangka menang dalam pertandingan yang turut disertai sekolah lain.

"Tak sangka menang dan kejayaan ini banyak dibantu cikgu, ibu, ayah serta kawan," katanya.

Menurutnya, beberapa bulan sebelum pertandingan dia dilatih dua guru PPKI SKTM iaitu Suhaili Abu Bakar dan Hafizah Hashim.

"Saya berlatih bercerita di sekolah dan rumah dengan bantuan cikgu dan ibu, terima kasih cikgu kerana melatih saya sehingga berjaya," katanya.

Hasil kemenangan itu Azib Raimi membawa pulang sijil penghargaan dan piala.

Sementara itu, ibunya, Zarinah Mat Noor, 43, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu mengalami Sindrom Pierre Robin iaitu rahang bawah lebih kecil dari bentuk normal selain saluran pernafasan sempit dan fizikal kecil serta pendek.

"Keadaan ini menyebabkan dia berjalan dalam keadaan dada ke depan selain kakinya mudah lenguh dan sakit," katanya.

Menurutnya, Azib Raimi suka membaca buku dan seperti kanak-kanak lain dia juga aktif bermain serta bersukan.

Mereka bersyukur dengan kemenangan itu dan berterima kasih kepada guru yang mencungkil bakat Azib Raimi.

"Kemenangan ini juga bagi membuktikan anak OKU boleh berjaya seperti kawan normal lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 7:00 AM