Redzuan Muharam


USIANYA 17 tahun namun cara pertuturan dan sikap Muhammad Adam Airil Razlan tidak ubah seperti kanak-kanak berumur enam tahun akibat gangguan ‘spektrum autisme’ (ASD) sejak lahir.

Bagaimanapun, Muhammad Adam mempunyai keistimewaan iaitu menulis khat malah anak ketiga daripada lima beradik itu pernah dinobatkan johan Khat Pendidikan Khas Melaka 2018 dan 2019.

Bukan setakat itu, Muhammad Adam juga berkebolehan menulis dan membaca al-Quran yang kini menjadi terapinya.

Ibunya, Dr Ishaireen Dalib berkata, Muhammad Adam mendapat pendedahan mengenai seni khat ketika berumur 15 tahun.

“Ikutkan, Muhammad Adam agak sukar dikawal ketika berumur tujuh hingga 12 tahun disebabkan tantrum (kuat meragam) namun sikapnya berubah pada usia tahun 13 tahun selepas kami sekeluarga pulang menunaikan umrah.

“Melihat perubahannya, saya dan suami mendaftarkannya ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru, Melaka.

“Alhamdulillah, Muhammad Adam serasi dengan guru di situ (PPKI) dan kami dapat melihat perkembangannya yang cenderung dalam seni khat selepas diperkenalkan Cikgu Saifullah Abd Rahim,” katanya yang juga Pakar Sakit Puan dan menetap di Bukit Katil, Melaka.

Menurut Dr Ishaireen, selain Saifullah, Muhammad Adam turut mendapat bimbingan daripada pakar khat, Ustaz Rashidy Omar dari Madrasah Assyaidah Khadijah.

Katanya, kemahiran seni khat mengambil masa lama untuk dipelajari tetapi Muhammad Adam mahir dalam tempoh singkat.

MENULIS ayat suci al-Quran menjadi terapi kepada Muhammad Adam. FOTO ihsan Dr Ishaireen Dalib
MENULIS ayat suci al-Quran menjadi terapi kepada Muhammad Adam. FOTO ihsan Dr Ishaireen Dalib

“Ustaz Rashidy datang ke rumah sekali setiap minggu untuk memberi tunjuk ajar secara persendirian kepada Muhammad Adam.

“Semakin lama, Muhammad Adam menunjukkan peningkatan dan bakatnya turut mendapat perhatian Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan Dr Abdul Rahman Hamzah.

“Pencapaian dan keberaniannya menyertai pertandingan amat membanggakan kami sekeluarga dan saya gembira dengan perubahannya.

“Saya menangis ketika mendapat tahu keadaan Muhammad Adam kerana terlalu sedih tetapi belajar menerima kelainannya dengan sabar dan sentiasa bekerjasama dengan guru.

“Diharap, ibu bapa lain juga begitu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 9:00 PM
MUHAMMAD Adam tekun menyiapkan kaligrafi. FOTO ihsan Dr Ishaireen Dalib
MUHAMMAD Adam tekun menyiapkan kaligrafi. FOTO ihsan Dr Ishaireen Dalib