Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Dua beranak yang meninggal dunia dalam kejadian bunuh di Kampung Bakar Batu di sini, semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad, jam 8.10 malam ini.

Lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai hadir ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu, bagi memberi penghormatan terakhir kepada kedua-dua jenazah itu.

Proses pengebumian berjalan lancar walaupun hujan gerimis.

Turut kelihatan di tanah perkuburan itu adalah keluarga suspek termasuk bapanya, Adam Abdullah, 55.

Adam yang dilihat terpaksa dipapah anak keduanya, Aiman, 18, turut dilihat masih meminta maaf dengan bapa mangsa, Rosman Ahmad.

Rosman yang sudah reda dengan ketentuan Allah dilihat menenangkan besannya.

"Dahlah, benda dah nak jadi," katanya.

BAPA suspek, Adam Abdullah menjirus air ke pusara menantu dan cucunya . FOTO Nur Aisyah Mazalan.
BAPA suspek, Adam Abdullah menjirus air ke pusara menantu dan cucunya . FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Terdahulu, jenazah dua beranak itu disembahyangkan di Masjid Kampung Bakar Batu di sini, selepas solat Maghrib.

Jenazah Hajar Nursyahirin Rosman, 26 dan bayi lelakinya, Hans Mohd Thakif Amir, berusia kira-kira dua bulan, sebelum itu menjalani proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Proses bedah siasat kedua-dua jenazah dilaporkan selesai jam 5.42 petang tadi.

Semalam, satu kejadian menyayat hati mendapat perhatian di seluruh negara apabila seorang lelaki dilaporkan bertindak mengelar leher isteri dan bayi lelakinya.

Lelaki berusia 25 tahun itu kemudian bertindak melarikan diri dengan menunggang motosikal dalam keadaan bogel sebelum video dan gambarnya tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 8:53 PM