MOHAMAD Amir Nazri didakwa atas dua pertuduhan membunuh isteri dan bayi lelakinya, 4 Julai lalu di Mahkamah Majistret Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MOHAMAD Amir Nazri didakwa atas dua pertuduhan membunuh isteri dan bayi lelakinya, 4 Julai lalu di Mahkamah Majistret Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Keluarga kepada wanita yang dibunuh suaminya di Kampung Bakar Batu pada 4 Julai lalu, menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat pengadilan sebaiknya.

Bapa kepada Hajar Nursyahirin, Rosman Ahmad, 58, berkata, tiada apa yang boleh diharapkan pihak keluarga selain daripada kematian anak serta cucunya itu mendapat keadilan.

"Saya sebagai bapa, saya hanya minta kes ini diadili sebaik-baiknya untuk keadilan kepada anak saya, cucu saya dan pihak keluarga besan saya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, menantu Rosman, Mohamad Amir Nazri Mohd Adam, 24, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan membunuh isteri berusia 26 tahun dan bayi lelakinya, Hans Mohamad Thaqeef, dua bulan lapan hari.

Tertuduh hanya menjawab faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Ditanya lanjut mengenai kejadian itu, Rosman berkata, apa saja yang berlaku tiada siapa yang tahu motif sebenar dan tiada siapa yang berhak membuat sebarang dakwaan atau andaian.

"Sekiranya menantu dan anak saya ada masalah rumah tangga itu kita tidak tahu.

"Dalam hal rumah tangga, lidah pun boleh tergigit. Kita tiada bukti, jadi kita tidak boleh nak dakwa apa-apa," katanya yang turut memaklumkan hubungan keluarganya dengan keluarga besan tetap baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 8:47 PM