Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Subsidi kepenggunaan yang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa kini akan diteruskan dalam usaha membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dengan unjuran perbelanjaan yang dilihat paling tinggi dalam sejarah setakat ini iaitu lebih RM77 bilion, ada pihak yang melihat ia sukar dipertahankan untuk jangka masa panjang.

"Kita (kerajaan) sudah buat yang terbaik di mana RM77 bilion adalah yang tertinggi dalam sejarah negara dan skopnya memang cukup luas.

"Kita juga kena lihat kos oleh kerajaan, ada pihak mengatakan ini tidak lestari, katanya sukar untuk kita pertahankan subsidi yang besar dalam jangka panjang tapi dalam jangka pendek kita sudah laksanakan.

"Ia memberi kita ruang untuk membantu rakyat jadi dalam jangka pendek, kita akan teruskan dan akan nilai dengan sedalamnya... kita akan teruskan subsidi," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir dalam sesi dialog bersama pihak industri dan NGO di Kelantan dengan membincangkan mengenai isu ekonomi.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Makro, Unit Perancang Ekonomi JPM, Datuk Nor Azmie Diron dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Kelantan, Mohamad Nazwan Ismail.

MUSTAPA berucap ketika hadir sesi dialog bersama pihak industri dan NGO Kelantan mengenai Isu Ekonomi di Grand Renai Hotel. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUSTAPA berucap ketika hadir sesi dialog bersama pihak industri dan NGO Kelantan mengenai Isu Ekonomi di Grand Renai Hotel. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mengenai langkah menangani inflasi, Mustapa berkata, pihaknya sudah mengadakan dua kali perbincangan berkaitan perkara itu di bawah pasukan khas yang ditubuhkan.

Katanya lagi, melalui pasukan khas itu juga pihaknya akan turun ke bawah mengadakan perjumpaan dengan persatuan perniagaan serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi penerangan mengenai inflasi dan keadaan semasa.

"Selain itu, kita juga ingin mendapatkan maklum balas daripada mereka dan satu lagi perkara yang kita perlu lakukan adalah untuk memperkasakan persatuan pengguna di negara dalam kita menghadapi cabaran termasuk kenaikan harga maka pengguna harus memainkan peranan lebih aktif lagi untuk pastikan mereka juga ada kuasa untuk mempengaruhi harga.

"Penerangan yang jelas mengenai inflasi serta keadaan semasa dalam negara akan diberikan kepada rakyat menerusi seminar peringkat kebangsaan yang akan dilaksanakan di setiap negeri dengan kerjasama daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 7:38 PM