Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Semua projek pembangunan yang belum dimulakan akan ditangguh atau dibatalkan terus sebagai menyahut langkah penjimatan dalaman yang diarahkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau sudah mengadakan mesyuarat dengan beberapa agensi berkenaan bagi mengenalpasti mana-mana projek yang berkaitan.

"Saya bertanggungjawab kepada pembangunan, jadi mana-mana projek yang belum kita usaha atau belum mula akan kaji untuk tunda atau batalkan.

"Yang boleh dikaji ada dua iaitu pembangunan yang belum dimulakan sebarang gerak kerja dan satu lagi, projek yang belum dikeluarkan tender.

"Saya sudah adakan mesyuarat dengan wakil Kementerian Kewangan (MoF), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) untuk melihat projek yang belum dimulakan lagi sama ada akan ditangguhkan atau dibatalkan pembinaan," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

MUSTAPA Mohamed (tengah) beramah mesra dengan peserta yang hadir dalam Seminar Pasaran Buruh-Program Outreach Pemprofilan Pencari Kerja peringkat Negeri Kelantan 2022 di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia (USM), di Kubang Kerian di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
MUSTAPA Mohamed (tengah) beramah mesra dengan peserta yang hadir dalam Seminar Pasaran Buruh-Program Outreach Pemprofilan Pencari Kerja peringkat Negeri Kelantan 2022 di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia (USM), di Kubang Kerian di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Media sebelum ini melaporkan semua kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun Persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) diarah melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan, bagi membolehkan penjimatan itu disalurkan untuk kesejahteraan rakyat.

Arahan itu dikeluarkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk 'Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam' ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Seri Asri Hamidon dan berkuat kuasa mulai Rabu lalu.

Mustapa berkata, langkah penjimatan sedemikian wajar diambil bagi menampung kenaikan subsidi serta membantu rakyat secara berterusan terutama mereka yang dalam kategori B40.

"Langkah ini wajar diambil kerana kita perlukan angka yang besar untuk perbelanjaan bagi melindungi kepentingan rakyat.

"RM7.77 bilion untuk subsidi meningkat dengan ketara manakala hasil (untuk negara) tidak banyak masuk dan tak mampu menampung kenaikan subsidi.

"Kerajaan akan terus membantu rakyat dalam keadaan gawat ini maka untuk pastikan kedudukan kewangan ini stabil, kita perlu ambil langkah penjimatan yang dicadangkan," katanya.

Terdahulu beliau hadir dalam majlis perasmian Seminar Pasaran Buruh-Program Outreach Pemprofilan Pencari Kerja peringkat Negeri Kelantan 2022 sempena Karnival Aspirasi Keluarga Malaysia di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia (USM), di Kubang Kerian di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 7:03 PM