Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Warga asing sanggup membeli kenderaan terpakai dengan rakyat tempatan dengan harga lebih tinggi bagi kegunaan mereka di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, ia secara tidak langsung menarik perhatian rakyat tempatan memiliki kereta terpakai yang hendak dijual kepada warga asing hanya untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda.

Bagaimanapun katanya, isunya adalah masih ada segelintir masyarakat yang tidak peka membabitkan penjualan kenderaan kepada warga asing tanpa penukaran hak milik.

"Kes-kes yang membabitkan pemandu warga asing tidak akan berlaku sekiranya warga tempatan tidak menjual atau menyewakan kenderaan mereka kepada golongan berkenaan.

"Berdasarkan Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Pewa) yang dijalankan di seluruh negara, ia bukan sahaja membabitkan etnik Rohingya di Kelantan, tetapi juga warga Pakistan dan Indonesia di Pantai Barat yang turut dikesan berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Tahunan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail (SMSI) dan Sultan Ismail College (SIC) di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Zailani berkata, sejak kebelakangan ini semakin ramai warga asing terutama yang dikesan memandu kenderaan milik warga tempatan dan tidak menukar nama hak milik.

"Perkara ini perlu dipandang serius dan tindakan tegas akan diambil terhadap rakyat tempatan yang menjual atau meminjamkan kenderaan mereka kepada warga asing kerana ia adalah satu kesalahan," katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim (dua kanan) beramah mesra dengan sebahagian 200 bekas pelajar dan guru ISMAILIAN dari tahun 1963 hingga 1998 diraikan Majlis Makan Malam Tahunan Alumi SMSI dan SIC 2023 yang turut dihadiri Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) di Hotel Grand Renai, di sini, malam tadi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 8:30 AM