Siti Rohana Idris


Jeli: Tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia tidak menjejaskan sektor ekonomi dan perdagangan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, hubungan ekonomi yang membabitkan negara itu dengan Malaysia amat kecil dan dijangka tidak memberi impak besar.

"Kesan, kita jangka tidak akan ada sebab (hubungan) dari segi ekonomi agak kecil.

"Hubungan kita sikit sangat dan boleh dikatakan langsung tiada.. memang tidak menjejaskan," katanya yang ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Siap Pejabat Kesihatan Daerah Jeli bernilai RM14.9 juta.

Media semalam melaporkan pengumuman Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia sebagai tindak balas terhadap tindakan Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat (AS), awal bulan ini.

DATUK Seri Mustapa Mohamed ketika hadir pada Majlis Penyerahan Projek Siap Pejabat Kesihatan Daerah Jeli, hari ini.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Seri Mustapa Mohamed ketika hadir pada Majlis Penyerahan Projek Siap Pejabat Kesihatan Daerah Jeli, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Negara itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai 'jenayah tidak boleh dimaafkan' yang didakwa dilakukan kerana tekanan AS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 2:40 PM