Juwan Riduan


Keningau: Berang kerana disaman, seorang pemandu jengkaut bertindak merempuh kenderaan milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga remuk dalam kejadian di Jalan Kepayan, Kampung Magatang, di sini, hari ini.

Rakaman kejadian yang tular di media sosial bagaimanapun memaparkan anggota dan pegawai yang terbabit terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Difahamkan, pemandu bertindak demikian selepas disaman oleh anggota JPJ kerana dipercayai tidak memiliki lesen memandu kelas F.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim ketika dihubungi memaklumkan akan membuat kenyataan media dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 8:35 PM