MESIN perlombongan bitcoin dirampas dalam operasi di sebuah premis di Bandar Baru, Keningau. FOTO ihsan PDRM
MESIN perlombongan bitcoin dirampas dalam operasi di sebuah premis di Bandar Baru, Keningau. FOTO ihsan PDRM
Juwan Riduan


Keningau: Polis mematahkan satu sindiket disyaki menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin di Bandar Baru Keningau, di sini, kelmarin.

Dalam operasi pada 7 malam itu, pelbagai peralatan elektrik dipercayai digunakan untuk tujuan perlombongan bitcoin turut dirampas.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menjalankan operasi dengan bantuan pasukan teknikal Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Katanya, pihaknya percaya premis berkenaan disyaki membuat sambungan elektrik secara haram sehingga menyebabkan kerosakan dan kerugian pada harta benda SESB.

"Sebanyak 57 unit mesin bitcoin dirampas bersama lima router, satu modem jaringan tanpa wayar (WiFi) dan satu set komputer yang digunakan untuk tujuan perlombongan bitcoin.

"Semua barang rampasan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 3:10 PM