Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Keputusan Yayasan Akalbudi untuk membuat pelaburan RM10 juta dalam syarikat membekal arang batu di Indonesia tidak direkodkan dalam resolusi disebabkan oleh kesilapan setiausaha syarikat, demikian ditegaskan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, sebelum resolusi berhubung pelaburan itu disediakan oleh setiausaha syarikat, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan dua pemegang amanah yayasan yang diasaskannya itu.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran pada sesi soal balas, yang mencadangkan bahawa tiada sebarang mesyuarat diadakan berhubung pelaburan RM10 juta itu, Ahmad Zahid menjawab, "Ia disebabkan kesilapan setiausaha syarikat."

Dicadangkan sekali lagi oleh Raja Rozela bahawa tiada perbincangan oleh pemegang amanah, Ahmad Zahid dengan menjawab; "Ada perbincangan."

Timbalan Pendakwa Raya itu kemudian mencadangkan bahawa jika pun ada perbincangan mengenainya, ia tidak direkodkan, yang kemudian dijawab oleh Ahmad Zahid sekali lagi bahawa ia adalah kesilapan setiausaha syarikat.

Ahmad Zahid ketika itu disoal balas mengenai pemberian cek RM10 juta oleh Yayasan Akalbudi kepada syarikat kontraktor Armada Holdings Sdn Bhd bagi membekal arang batu dari Indonesia untuk kontrak spot TNB Fuel Services Sdn Bhd.

Sementara itu, Ahmad Zahid ditegur oleh Raja Rozela kerana beberapa kali tidak menjawab soalan yang dikemukakan, dengan mengingatkan Presiden Umno itu bahawa beliau bukannya berada di kedai kopi atau Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT).

Timbalan Pendakwa Raya itu kelihatan terganggu apabila Ahmad Zahid enggan menjawab soalan spesifik yang dikemukakan sebaliknya bertegas untuk memberikan penjelasan walaupun beberapa kali diingatkan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa beliau boleh menjelaskan kemudian ketika pemeriksaan semula.

Ahmad Zahid ketika itu disoal mengenai akaun simpanan tetap firma guaman Lewis & Co membabitkan peranan bekas setiausaha eksekutifnya Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly (saksi pendakwaan ke-90).

Raja Rozela: Adakah Datuk Seri setuju bahawa Mejar Mazlina tidak boleh sentuh akaun simpanan tetap Lewis & Co?

Ahmad Zahid: Setuju tetapiā€¦

Raja Rozela: Datuk Seri, saya minta sangat-sangat, tolonglah fokus, kalau tidak sampai malam kita di sini.

Ahmad Zahid: Setuju

Raja Rozela: Terima kasih banyak.

Ahmad Zahid: Terima kasih kepada anda juga.

Raja Rozela: Hati-hati Datuk Seri ini dalam mahkamah ya, bukan dekat kedai kopi, bukan dekat majlis tertinggi. Saya mengingatkan kamu sebagai pegawai mahkamah.

Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan bersambung petang.

PUR 30 JUN 2022. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah KL untuk menghadiri prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
PUR 30 JUN 2022. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah KL untuk menghadiri prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 2:59 PM