Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah KL untuk menghadiri prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah KL untuk menghadiri prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahidi menafikan bahawa beliau 'menuding jari' kepada bekas setiausaha eksekutifnya Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly berhubung pembayaran kad kredit menggunakan cek Yayasan Akalbudi, hanya untuk melepaskan tengkuk sendiri.

Presiden Umno itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran yang beliau berbohong di mahkamah apabila menyatakan tidak mengetahui Mazlina membuat pembayaran kad kredit itu.

Raja Rozela kemudian mencadangkan kepada Ahmad Zahid bahawa beliau tidak memberitahu pegawai perakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika memberikan kenyataan, mengenai cek itu digunakan untuk membayar kad kredit peribadinya kerana dia sebenarnya yang mengarahkan Mazlina berbuat demikian.

Raja Rozela: Saya katakan kamu tidak beritahu sepatah perkataan kepada SPRM ketika direkodkan kenyataan sebab kamu sendiri yang membenarkan Mazlina guna cek yayasan untuk membayar kad kredit itu?

Ahmad Zahid: Tidak setuju.

Ahmad Zahid dalam keterangan sebelum ini berkata, Mazlina melakukan kecuaian dengan menggunakan cek Yayasan Akalbudi yang diasaskan beliau untuk membayar kad kredit berkenaan.

Menurut Ahmad Zahid, baki wang dalam akaun bank kepunyaannya adalah lebih mencukupi untuk membayar kad kredit peribadinya.

Katanya, Mazlina sendiri mengakui melakukan kecuaian ketika membuat pembayaran itu ketika memberikan keterangan di mahkamah.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid tidak bersetuju dengan cadangan Raja Rozela bahawa beliau mempunyai peluang keemasan untuk memberikan penjelasan kepada SPRM dan menafikan pembabitannya dan pembayaran kad kredit peribadinya.

Raja Rozela: Tidak mengapa, saya katakan sama ada cek asal atau imej, ia tidak menghalang kamu untuk beri penjelasan kepada SPRM?

Ahmad Zahid: Tidak setuju. Saya mohon beri penjelasan, ketika itu saya berada di bawah tekanan kerana kenyataan itu diambil sehingga 10 malam. Ketika saya tandatangan kenyataan, saya tidak sedar cek itu hanya menggunakan cop.

Raja Rozela: Jadi kamu beri keterangan palsu di mahkamah?

Ahmad Zahid: Saya tidak beri keterangan palsu tetapi saksi…

Raja Rozela: Fokus kepada kenyataan ini sahaja tidak payah tengok saksi lain. Kamu mengaku membayar kad kredit atau mengarahkan pembayaran bayar kad kredit. Sama ada cek asal ditunjukkan kepada kamu atau imej, ia tidak menghalang kamu daripada menafikan pembabitan dalam hal ini?

Ahmad Zahid: Tidak setuju.

Raja Rozela: Saya katakan sama ada pegawai perakam menunjukkan beratus dokumen pun, ia tidak menghalang kamu untuk menjelaskan pembabitan kamu dalam menggunakan duit yayasan?

Ahmad Zahid: Tidak setuju

Raja Rozela: Ini kenyataan kamu, adakah kamu menyatakan kenyataan kepada SPRM adalah tidak benar?

Ahmad Zahid: Saya berada di bawah tekanan, apa lagi pilihan yang saya ada?

Raja Rozela: Saya katakan jika kamu kena beri kenyataan 100 kali pun, kalau tidak buat, kamu boleh beritahu pegawai perakam bahawa kamu tidak buat?

Ahmad Zahid: Masa itu saya tidak tahu… Saya tidak ingat cek itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 4 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 6:10 PM