AHMAD Zahid (tengah) hadir untuk prosiding perbicaraan kesnya terhadap pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram daripada dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi hari ini. FOTO Bernama
AHMAD Zahid (tengah) hadir untuk prosiding perbicaraan kesnya terhadap pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram daripada dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

BEKAS setiausaha eksekutif kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia cuai menguruskan beberapa keping cek Yayasan Akalbudi bagi pembayaran kad kredit milik bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Saksi utama pendakwaan, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly, 42, mengakui kesilapannya membuat pembayaran kad kredit melebihi jumlah yang sepatutnya dengan menggunakan cek yayasan itu.

Mazlina menjelaskan perkara itu ketika disoal balas peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal, yang mewakili Ahmad Zahid, pada perbicaraan hari ke-40 Presiden UMNO itu bagi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitan dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zaidi: Merujuk kepada satu penyata kad kredit bertarikh 28 Disember 2013 yang mempunyai jumlah baki semasa (jumlah sepatutnya perlu dibayar) sebanyak RM65,153.32, namun Puan Mazlina membayar lebih iaitu RM71,283.17 dalam dua cek berasingan iaitu yang bernilai RM63,701.52 dan RM7,581.65.

Mazlina: Ya, Yang Arif

Saksi pendakwaan ke-90 itu juga bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa itu adalah kesilapannya.

Ahmad Zaidi: Dalam penyataan saksi, Puan Mazlina ada beritahu Datuk Seri (Ahmad) Zahid seorang yang teliti, sekiranya telitibeliau tidak membenarkan pembayaran itu (bayar lebih).

Mazlina: Tidak setuju.

Ahmad Zaidi: Puan Mazlina tidak pernah menunjukkan penyata kad kredit dan cek pembayaran kepada Datuk Seri (Ahmad) Zahid.

Mazlina: Ya, Yang Arif.

Menjawab soalan Ahmad Zaidi, bagaimana saksi itu boleh membuat pembayaran menggunakan cek bertarikh 7 Januari 2014 dengan jumlah yang tepat, sedangkan penyata kad kredit itu keluar pada 28 Januari 2014, Mazlina menjawab, "Saya tersalah tulis tarikh (bulan Januari) pada cek, sepatutnya Februari."

Ahmad Zaidi: Ini juga menunjukkan kecuaian kamu?

Mazlina: Ya, Yang Arif.

Sementara itu, ditanya Ahmad Zaidi, adakah cop tandatangan Ahmad Zahid digunakan untuk cop sijil dan kad jemputan secara lambak (banyak-banyak) Mazlina menjawab, "Ya, Yang Arif."

Mazlina juga berkata, dia tidak mengetahui Yayasan Akalbudi tidak pernah membuat apa-apa special resolution atau memberikan apa-apa spesimen cop kepada Affin Bank untuk membenarkan cop ditandatangani bagi pihak yayasan itu.

Saksi itu tidak bersetuju dengan peguam bahawa Ahmad Zahid membenarkannya menggunakan cop tanda tangan untuk sekali sahaja.

Disoal Ahmad Zaidi adakah kebenaran Ahmad Zahid untuk membenarkannya menggunakan cop pada cek Yayasan Akalbudi adalah anggapannya, Mazlina menjawab, "ini adalah arahan yang jelas".

Ahmad Zaidi: Adakah itu (arahan) hanya blanket approval semata-mata?

Mazlina: Ya, Yang Arif.

Selasa lalu, Mazlina memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid membenarkannya menggunakan cop tandatangan tertuduh pada cek Yayasan Akalbudi bagi pembayaran bil kad kredit pada 2014.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran manakala pasukan pembelaan diketuai peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 4:31 PM