NUR Hidayati Duwaijah. FOTO ihsan polis
NUR Hidayati Duwaijah. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Remaja perempuan berusia 18 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Kampung Bandar Dalam, Sentul, di sini, 20 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima laporan daripada ibu remaja itu mengatakan anaknya tidak pulang ke rumah selepas keluar pada jam 7.20 malam.

"Nur Hidayati Duwaijah Mazlans dikatakan keluar dari rumah untuk ke kedai namun sehingga kini masih gagal dihubungi.

"Ibu remaja berkenaan sudah cuba untuk menghubungi telefon milik anaknya namun gagal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, menurut ibu remaja terbabit, anaknya kali terakhir memakai baju berwarna merah dan seluar berwarna hitam.

"Ketinggian adalah lebih kurang 145 sentimeter dan berkulit cerah. Selain itu anaknya berbadan sederhana dan mata berwarna coklat.

"Kehilangan ini dihebahkan melalui Nur Alert. Polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tampil memberikan keterangan ataupun menghubungi Pegawai Penyiasat iaitu Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-3185868 atau boleh juga menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 6:04 PM