Beh Eng Lai (tengah) pada sidang media. FOTO ASWADI ALIAS
Beh Eng Lai (tengah) pada sidang media. FOTO ASWADI ALIAS
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebanyak 2,720 minuman keras bernilai RM100,000 disyaki diseludup dirampas selepas polis menahan empat lelaki termasuk dua warga asing di Jalan Sentul Pasar, di sini, Khamis lalu.

Dalam serbuan jam 7 malam, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan keempat-empat suspek berusia antara 24 hingga 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan menjual arak itu dengan berselindung di sebalik premis perniagaan pemborong minuman keras sejak tahun lalu.

"Semua suspek direman tiga hari bermula Jumaat lalu mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1965 kerana memiliki, menyimpan, mengangkut, menghantar, mengedar, menyorok serta menjual minuman keras seludup.

"Ia boleh membawa hukuman denda tidak lebih 20 kali ganda jumlah cukai kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana jumlah lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," katanya pada sidang media di IPD Sentul, di sini, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya memberikan kerjasama serta menjadi mata dan telinga kepada polis untuk mengekang kegiatan jenayah.

"Mereka mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 4:33 PM