Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Polis akan memanggil Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng dan dua orang individu lain untuk membantu siasatan berhubung dakwaan salah laku membabitkan anggota polis melakukan pemerasan berhampiran lampu isyarat Jalan Besar Kampung Melayu, Kepong pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai dakwaan tiga anggota polis melakukan pemerasan terhadap dua lelaki itu.

Menurutnya, hasil semakan pihaknya mendapati tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana individu berkaitan dengan insiden seperti didakwa dalam sidang media wakil rakyat itu.

Katanya, polis memandang serius dakwaan itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap tiga anggota berkenaan jika kejadian salah laku itu didapati benar-benar berlaku.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

"Kami menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga keamanan serta ketenteraman.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang di dalam negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai insiden ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-3185868 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul 03-40482206.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 11:25 PM