Nor Fazlina Abdul Rahim


Kuala Krai: Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan cuba mencuri wang dan merosakkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Tanah Merah, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Fazlan Sha'ari, 35, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tuan Amal Razim Alias.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat melakukan cubaan mencuri wang di dalam mesin ATM di sebuah bank di Tanah Merah dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Muhammad Fazlan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan cuba mencuri wang dan merosakkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Tanah Merah, bulan lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Muhammad Fazlan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan cuba mencuri wang dan merosakkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Tanah Merah, bulan lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Fazlan juga didakwa melakukan khianat iaitu merosakkan sebuah mesin ATM di sebuah bank di Tanah Merah dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di bank berkenaan pada 1.45 pagi, 18 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Fairuz Rosly manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sementara menunggu tarikh hukuman pada 14 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 3:17 PM