TERTUDUH (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan sebabkan kematian penunggang motosikal. FOTO Ahmad Hasbi.
TERTUDUH (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan sebabkan kematian penunggang motosikal. FOTO Ahmad Hasbi.
Ahmad Hasbi

Seremban: Pegawai penyelidik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang basikal, 1 Jun lalu.

Munirah Stapah @ Salleh, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Intan Syafinaz Roslin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Khalid Mohd Isa, 72, di Jalan Temiang-Pantai, pada 8.25 pagi, 1 Jun 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan M Shanmugavel, manakala Munirah tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin selain lesen memandunya digantung.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 1:51 PM