Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Meskipun dikurniakan anak tidak seperti remaja normal seusia dengannya, ibu ini tetap tabah menjaga Alya Badrina Adly, 14, yang menghidap penyakit saraf Cerebral Palsy (CP), bagai menatang minyak yang penuh.

Bagi Munirah Adnan, 33, dan suaminya, Adly Fauzi, 35, ia adalah ketentuan dan anugerah terindah daripada Allah SWT yang mengurniakan seorang anak orang kurang upaya (OKU) kepada mereka.

Munirah mengakui, mempunyai anak menghidap CP cukup untuk menguji ketabahan berikutan anak istimewa itu memerlukan penjagaan khusus.

Katanya, anak sulung daripada tiga beradik itu dilahirkan awal secara pembedahan ketika kandungan berusia tujuh bulan dan ketika proses kelahiran, dia hampir lemas dalam kandungan.

"Berat Alya Badrina ketika dilahirkan hanyalah 900 gram dan disebabkan itu dia terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Paediatrik (PICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) selama empat bulan dan selepas keadaannya stabil, dia dipindahkan ke wad biasa selama sebulan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

"Alya Badrina dilahirkan kembar, namun kembarnya, hanya mampu berjuang selama lapan hari untuk meneruskan hidup sebelum meninggal dunia disebabkan beberapa komplikasi dan juga masalah pernafasan," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Labok Jaya, Batu 23, di sini, baru-baru ini.

Munirah berkata, penyakit CP yang dihidapi Alya Badrina menyebabkan anaknya itu memerlukan penjagaan seperti seorang bayi yang baharu lahir termasuk memberi makan, minum serta memandikannya.

Menurutnya, setiap masa anaknya itu dalam keadaan meniarap berbanding berbaring kerana sukar untuk bernafas dan hanya mampu menangis kerana tidak boleh berkata-kata.

Katanya, bagi menampung perbelanjaan anak sulungnya itu, setiap bulan dia perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM700 untuk membeli keperluan Alya Badrina termasuk lampin pakai buang dan susu formula berharga RM98 setin yang bertahan untuk tempoh seminggu.

"Untuk menampung keperluan Adlina Badrina, saya menggunakan wang yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung.

"Suami saya hanya bekerja sebagai posmen dengan pendapatan RM1,500 sebulan dan dalam masa sama saya turut berniaga membuka gerai menjual makanan di hadapan rumah dengan pendapatan yang tidak menentu dan ada ketika memperoleh antara RM 40 hingga RM50 sehari," katanya.

MUNIRA Adnan menjaga serta menguruskan segala keperluan anak sulungnya, Aliya Badrina Adly ketika ditemui di Taman Labok Jaya, Batu 23. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
MUNIRA Adnan menjaga serta menguruskan segala keperluan anak sulungnya, Aliya Badrina Adly ketika ditemui di Taman Labok Jaya, Batu 23. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Katanya, dia dan suami mempunyai dua lagi anak yang perlu ditanggung iaitu Alya Shahirah Yusra, 5, yang belajar di Tabika Kemas dan Alya Syafiqah Nabila, 11, bersekolah di Sekolah Kebangsaa (SK) Tok Bok yang juga OKU masalah pembelajaran.

"Selain keperluan anak, kami juga perlu membayar sewa rumah RM300 sebulan menyebabkan saya perlu berjimat cermat dan kami anak beranak hanya makan ala kadar sahaja asalkan tidak berhutang dengan sesiapa," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Munirah di talian 011-3339 4526.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 1:40 PM