Aizat Sharif dan Safuri Kamarudin


“EPAL itu sudah dipotong kecil dan dilumatkan, tapi mungkin anak mungkin tertelan ketika mengunyah menyebabkannya tercekik,” kata Munirah Abd Rahman, 38.

Munirah adalah ibu kepada Muhammad Fawwaz Mohd Fadlan berusia sembilan bulan yang meninggal dunia apabila tidak sedarkan diri selepas makan epal di sebuah taska di Taman Mesra, Kupang, Baling hari ini.

Katanya, dia dimaklumkan pengurusan taska yang anak bongsu daripada enam beradik itu sedang makan bersama seorang lagi bayi ketika kejadian berlaku.

“Selain arwah, saya difahamkan ada seorang lagi bayi yang disuapkan makanan sama, saya rasa anak pengasuh itu sendiri yang sebaya anak.

“Secara tiba, anak menangis dan keadaannya terus jadi lemah,” katanya.

Menurutnya, petugas taska itu menyangka anak tercekik dan sedaya upaya mengorek isi epal berkenaan.

“Namun, dia tidak terjumpa apa-apa tetapi keadaan Muhammad Fawwaz terus lemah sehingga tidak sedarkan diri.

“Pihak pengurusan taska kemudian segera menghantar Muhammad Fawwaz ke Klinik Kesihatan Kampung Landak dan dirujuk ke Hospital Baling sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Munirah berkata, dia dan suami, Muhammad Fadlan Saidin, 38, yang berasal dari Kampung Landak, Baling reda dengan ketentuan takdir.

Jenazah anak mereka kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Berita berkaitan:

  • Ajal bayi lepas makan epal lenyek
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 9:14 PM