FOTO HIASAN NSTP
FOTO HIASAN NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pembaharuan struktur diperlukan di Malaysia untuk meningkatkan segmen B40 dan menangani ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran tenaga kerja, kata Principal Asset Management Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Negara bagi Malaysia, Principal Asset Management Bhd Munirah Khairuddin berkata negara amat memerlukan pekerja mahir dan beliau meminta kerajaan supaya melihat secara mendalam sistem pendidikan dengan mengguna pakai pendekatan sains dan inovasi.

"Golongan B40 akan menjadi lebih besar dan lebih miskin. Kita harus memikirkan bagaimana untuk meningkatkan 40 peratus penduduk Malaysia ini kepada kedudukan yang lebih baik.

"Saya berpendapat kerajaan akan melakukan pelbagai tindakan tetapi ia juga memerlukan kesedaran diri yang tinggi oleh kumpulan B40 mengenai cara untuk meningkatkan nilai mereka dan ia bermula dengan sistem pendidikan," katanya kepada Bernama di luar Persidangan Principal Retirement and Investment 2022, di sini hari ini.

Munirah berkata pembaharuan struktur dalam sistem pendidikan dan celik kewangan perlu dimulakan lebih awal.

"Kami mempunyai ramai graduan tetapi adakah mereka boleh diambil bekerja atau boleh dipasarkan? Justeru itu pembaharuan struktur adalah penting untuk menjadikan mereka berdaya saing di peringkat global," katanya.

Simpanan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berada pada 26 peratus tetapi secara relatifnya lebih tinggi berbanding negara lain, katanya.

Selain itu, beliau berkata sebilangan besar golongan muda berada dalam nilai bersih negatif disebabkan oleh liabiliti yang tinggi.

"Ramai orang masih berada dalam kedudukan hutang bersih selain aset bersih. Ia benar-benar penting untuk melihat kepada nilai bersih.

"Daripada segi kedudukan aset bersih, rakyat Malaysia mempunyai banyak perkara yang perlu dilakukan tetapi pada tahap yang lebih tinggi, banyak wang digunakan untuk pelaburan dan golongan kaya melancong ke merata tempat," katanya.

Munirah berkata masalahnya terletak pada jurang pendapatan, ia telah menjadi lebih besar.

"Bagi mengekalkan masyarakat yang maju, ia adalah penting meningkatkan segmen B40 ke tahap lebih tinggi.

"Apa yang kerajaan lakukan adalah penting, jika tidak kita akan terus berada pada tahap yang sama," katanya.

Ditanya sama ada kenaikan gaji akan menjadi penyelesaian yang lebih baik, Munirah berkata langkah itu dilihat tidak sesuai dalam keadaan ekonomi semasa.

"Sebagai contoh, kadar inflasi Amerika Syarikat berada pada 9.1 peratus. Adakah ini bermakna kenaikan gaji sepatutnya 10 peratus, lebih tinggi daripada inflasi?, peningkatan sedemikian akan menjadi sukar jika kita melalui tempoh kemelesetan dan inflasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 6:53 PM