Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Nik Abdullah
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan menyuarakan kebimbangan dengan perkembangan kes kekerapan individu terjun dari jambatan Sultan Yahya Petra di sini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat daripada pihak berkaitan termasuk faktor menyebabkan kejadian itu.

Katanya, mungkin kejadian itu berpunca daripada pelbagai faktor termasuk masalah tekanan dan suasana ekonomi selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Untuk mengelakkan kejadian itu (terjun sungai), kita akan berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk cadangan pembinaan dinding atau pagar di jambatan Sultan Yahya Petra itu untuk mengelakkan kes individu terjun Sungai Kelantan.

"Kita juga akan mendapatkan pandangan semua pihak kerana kes ini serius dan membabitkan orang Islam (mangsa). Pihak kerajaan prihatin dengan kejadian itu," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, kejadian terjun sungai itu bukan sahaja berlaku di jambatan itu malah di jambatan Pulau Pinang.

"Dia macam ini Pulau Pinang (jambatan) orang terjun juga. Cuma kita tengok dulu macam mana termasuk mendapatkan pandangan daripada semua pihak.

"Kalau kita perlu menaikkan dinding, kita akan buat dan akan bincang dengan JKR," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dipercayai hilang selepas terjun dari jambatan Sultan Yahya Petra di sini, pada 12 tengah hari kelmarin.

Usaha mencari dan menyelamat mangsa, Khairul Nizam Omar, 46, giat dijalankan oleh pihak keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 2:32 PM