Siti Nor Hidayatidayu Razali


PENGURUS jualan kereta ditemui lemas di Sungai Kelantan di Jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Bharu malam ini.

Mayat mangsa berusia 42 tahun ditemui dalam keadaan terapung di lokasi mangsa jatuh pada 9.50 malam selepas ahli keluarga membaca Yassin di tebing sungai itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Darulnaim, Mohd Ridzuan Ali berkata, ahli keluarga mangsa membaca Yassin bermula 9 malam.

Katanya, ahli keluarga melihat mayat mangsa timbul di permukaan air sebelum memaklumkan kepada anggota bomba bertugas dan berada di lokasi.

“Kita turun ke sungai dan mendapati mangsa terapung sebelum anggota mengangkat mayat lelaki itu ke tebing.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis yang kemudian menghantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa ditutup 6.30 petang tadi dan tujuh anggota bertugas berada di lokasi pada waktu malam.

Akhbar hari ini melaporkan, bapa dua anak dikhuatiri lemas dipercayai selepas terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra di Sungai Kelantan semalam.

Kejadian pada 10 pagi itu dilihat pengguna laluan berkenaan yang kemudiannya memaklumkan kepada JBPM.

Lelaki berkenaan dipercayai mengalami kemurungan dan sering mendapatkan rawatan di hospital meninggalkan motosikalnya di atas jambatan berkenaan.

Berita berkaitan

Jurujual kereta dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 11:39 PM
Anggota bomba mengangkat mayat pengurus jualan kereta yang ditemui lemas di Sungai Kelantan malam ini. FOTO Zaman Huri Isa
Anggota bomba mengangkat mayat pengurus jualan kereta yang ditemui lemas di Sungai Kelantan malam ini. FOTO Zaman Huri Isa