ANGGOTA bomba melakukan pencarian dengan bot di Sungai Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
ANGGOTA bomba melakukan pencarian dengan bot di Sungai Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang terjun Sungai Kelantan, semalam masih berlangsung membabitkan pelbagai agensi, kata Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

Beliau turut mengesahkan lelaki itu adalah kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang berusia 40-an.

Katanya, sehingga kini mangsa belum ditemui dan SAR dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dibantu agensi penyelamat lain.

"Semalam tular mengatakan mangsa mengalami tekanan kerja sehingga bertindak sedemikian (terjun sungai), namun hasil semakan kita selepas merujuk Jabatan Imigresen mendapati, tiada unsur tekanan kerja.

"Siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke Sungai Kelantan dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini, pada 12 tengahari dan meninggalkan sebuah motosikal jenis Honda Wave di tepi jambatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 1:47 PM