Pengarah Bomba Kelantan, Zainal Madasin (kiri) berbual dengan Sukardi Ismail, 47, ketika hadir di lokasi mencari dan menyelamat mangsa terjun sungai, Norhisyam Ismail, 43, di Jambatan Tendong. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Pengarah Bomba Kelantan, Zainal Madasin (kiri) berbual dengan Sukardi Ismail, 47, ketika hadir di lokasi mencari dan menyelamat mangsa terjun sungai, Norhisyam Ismail, 43, di Jambatan Tendong. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris


Pasir Mas: Sebanyak 17 kes terjun jambatan direkodkan di negeri ini dalam tempoh empat tahun bermula 2021, kata Pengarah Bomba Negeri Kelantan, Zainal Madasin.

Beliau berkata, 16 kes daripadanya ditemukan lemas manakala satu lagi masih dalam operasi mencari dan menyelamat.

Menurutnya, lokasi paling banyak dilaporkan adalah di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu iaitu sembilan kes diikuti Jambatan Tendong, di sini dengan tiga kes dan kejadian terbaharu semalam

"Kes terbaharu membabitkan seorang lelaki berusia 43 tahun yang terjun ke Sungai Kelantan di Jambatan Tendong dan usaha mencari mangsa masih giat dijalankan.

"Selain dua lokasi itu, kes terjun jambatan turut berlaku di Jambatan Salor dan Pak Nik Lah di Kota Bharu, Wakaf King (Tumpat) serta Tok Bali (Pasir Puteh)," katanya kepada pemberita di lokasi mencari dan menyelamat Kampung Tendong, di sini, hari ini.

Zainal berkata, pihaknya berharap pihak berwajib dapat mencari penyelesaian segera contohnya pemasangan pagar atau penghadang di sepanjang jambatan.

Katanya, selain itu pemantauan pihak berkaitan juga perlu lebih kerap sebagai usaha mencegah kejadian terjun jambatan.

"Kita tidak tahu apa masalah yang dihadapi mangsa sehingga bertindak sedemikian (terjun jambatan) tapi di pihak berwajib perlu mencari langkah segera.

"Mungkin perlu kepada pemasangan pagar di sepanjang jambatan dan pasukan kami juga sentiasa menjalankan rondaan dan pemantauan terutama di lokasi kerap berlaku kes terjun jambatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 2:29 PM