Gambar hiasan
Gambar hiasan
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Tindakan bijak peniaga membuat semakan nombor akaun menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa sindiket penipuan menggunakan nama Ketua Polis Terengganu, semalam.

Mangsa berusia 44 tahun sebelum itu dikatakan menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali kira-kira 4.30 petang.

Pemanggil itu mendakwa sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai kira-kira RM39,600.90 lalu diarah memberi maklumat peribadi untuk semakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Superintendan M Zambri Mahmud berkata, mangsa juga didakwa mempunyai satu notis dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri yang ditandatangani Ketua Polis Negeri.

Katanya, selain itu mangsa turut didakwa terbabit dalam kegiatan pengedaran dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.28 juta.

"Ahli sindiket itu kemudian menyambungkan panggilan kepada seorang lelaki yang dikatakan pegawai daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

"Lelaki itu mengarahkan mangsa supaya memberikan maklumat perbankan dalam talian dan diminta membuat pindahan wang ke akaun diberikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

M Zambri berkata, mangsa tidak mengikut arahan lelaki itu sebaliknya membuat semakan dan mendapati nombor akaun diberikan bukannya nombor akaun BNM, sebaliknya milik seorang individu.

"Berikutan itu, polis menasihatkan seluruh masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon daripada orang tidak dikenali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 1:43 PM