GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang kerani kerugian RM11,000 selepas wang simpanannya di dalam sebuah bank lesap dalam kejadian di daerah ini pada Ahad lalu.

Kejadian dipercayai bermula selepas wanita berusia 39 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan di Cyberjaya kira-kira jam 1.30 petang.

Menurut sumber, suspek memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai LHDN sebanyak RM38,600 sebelum menghantar satu link borang yang perlu diisi dengan segera melalui aplikasi mesej.

Katanya, mangsa diarahkan melengkapkan borang berkenaan yang turut meminta wanita terbabit memberikan nombor kad pengenalan dan nombor akaun bank aktif.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa selain perasaan takut segera melengkapkan borang berkenaan lalu menghantarnya melalui aplikasi mesej kepada nombor sama.

"Tidak lama kemudian, mangsa menerima mesej daripada bank miliknya memaklumkan dia ada melakukan beberapa transaksi ke dalam akaun tidak diketahui.

"Mangsa yang terkejut menerima mesej itu segera membuat semakan dan mendapati jumlah wang simpanannya berkurangan sehingga RM11,000 hanya dalam tempoh tidak sampai 30 minit.

"Mangsa yang menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 3:01 PM