Foto hiasan
Foto hiasan
Oleh Melvin Joni


Miri: Akibat takut ditangkap, seorang kerani sebuah syarikat di sini, memberikan wang simpanannya kira-kira RM250,000 sebelum menyedari dirinya diperdaya sindiket 'phone scam'.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, wanita berusia dalam lingkungan 40-an itu mendakwa menerima panggilan telefon dari nombor 019-3613192 yang memperkenalkan diri sebagai Pang Hui Lee iaitu ejen sebuah syarikat kurier pada penghujung Julai lalu.

Menurutnya, ejen terbabit mendakwa mangsa ada membuat penghantaran barangan dan hasil semakan pihak syarikat itu mendapati terdapat lima MyKad, lima kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan lima pasport yang dikirim kepada seorang penama di Terengganu.

Mengulas lanjut, Mohd Azman berkata, bagaimanapun mangsa menafikan dakwaan itu, sebelum talian telefon disambungkan ke nombor +87052451072 bagi membolehkan mangsa membuat laporan polis secara dalam talian dan bercakap dengan 'Sarjan Lai' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Selepas itu, katanya, Sarjan Lai mengatakan hasil semakan butiran mangsa mendapati namanya terbabit dengan satu sindiket kumpulan pemerdagangan manusia di Vietnam yang didalangi dua individu bergelar Datuk.

"Mangsa yang berasa cemas dengan dakwaan itu kemudian mahunya Sarjan Lai membantu menyelesaikan kes berkenaan tetapi suspek memberitahu mangsa perlu merahsiakan perkara itu daripada sesiapa sahaja dan mangsa turut dikehendaki melaporkan diri setiap tiga jam kepada suspek melalui WhatsApp," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Mohd Azman berkata, suspek diperkenalkan dirinya sebagai Datuk Wong dari Bukit Aman yang boleh membantu menyelesaikan kes mangsa.

Menurutnya, wanita itu kemudiannya menghubungi Datuk Wong dimaklumkan satu waran tangkap sudah dikeluarkan dengan mangsa akan ditangkap pada bila-bila masa dan didakwa di mahkamah.

Beliau menambah mangsa seterusnya diarahkan menyerahkan semua akaun bank untuk semakan pihak Bank Negara Malaysia (BNM) kerana pihak polis mendapati mangsa juga terbabit dengan penggubahan wang haram.

"Oleh kerana takut, mangsa memaklumkan mempunyai empat akaun bank atas namanya sebelum suspek mengarahkannya memindahkan wang miliknya ke beberapa akaun bagi tujuan semakan BNM.

"Mangsa melakukan sembilan transaksi pemindahan wang secara dalam talian akaun-akaun bank miliknya serta deposit tunai yang keseluruhannya berjumlah kira-kira RM250,000 ke lapan akaun bank yang berlainan pada penghujung Julai lalu sehingga awal Ogos ini," katanya.

Mohd Azman berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas panggilan dan Whatsapp disekat oleh Sarjan Lai dan mangsa kemudian menceritakan perkara itu kepada kakaknya.

Katanya, mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada 10 Ogos lalu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 2:23 PM